Thursday, October 13, 2016

MOGA KITA JIRAN DI SYURGA

Kalau ada ucapan lebih tinggi selain ucapan Alhamdulillah, yang saya boleh ungkapkan, jujur saya nak ungkapkan.  Allahu, andai betul kata Ustaz Zahazan, "kalau Allah sayang kita, Allah hantarkan kepada kita, orang-orang yang sayang pada kita”.  Kalau lah ini tanda Allah sayang saya, syukurnya, subhanallah.

Sepanjang saya terlantar, jatuh motosikal baru-baru ni, saya nampak banyaknya hikmah Allah yang berlaku.  Keluarga sudahlah jauh, seorang diri tinggal di tempat orang.  Ramai yang membantu saya dari segi ubat-ubatannya, kelengkapan rawatan, bawa saya pergi hospital dan sebagainya.

Sehinggalah saya kembali bekerja semula, orang masih bertanyakan khabar saya.  Dan saya tak ada niat apa-apa pun untuk merahsiakan yang saya jatuh motosikal.  Sebab saya tak suka orang melihat saya dalam keadaan sakit dan susah.  Dan saya bukan jenis suka mendedahkan perkara negative yang berlaku kepada saya kecuali pada orang terdekat.  Sebab apa kita fikir, itu kita focus.  Apa kita focus, itu yang kita akan dapat.  Dan Allah berfirman, “Aku seperti sangkaan hambaKu”.  Jadi, saya terus fikirkan yang baik-baik saja, tunjuk yang baik-baik saja.  Tapi sebab orang ramai dah tahu, saya terpaksa cakap kat sini.

Alhamdulillah, luka saya semakin pulih, cuma belum pulih sepenuhnya di bahagian lutut.  Saya solat pun, masih di atas kerusi, dan saya minta doa dari orang yang membaca ni, supaya mendoakan saya cepat sembuh dan boleh buat ibadah dengan sempurna.  Lama sangat dah rasanya tak solat jemaah di masjid.  Rindu akan tempat sujud.  Dan nenek saudara saya, sedang koma, saya harap lutut saya cepat pulih dan saya nak ziarah nenek saudara saya.  Kerana saya menghadapi masalah untuk keluar, takut berlaga dengan orang, naik naik tangga, dan pergerakan yang lambat, dan lutut saya masih terasa pedih saat ini.

Apa yang membuatkan saya syukur, orang sekeliling saya menjaga saya dengan baik.  Sehingga jiran saya, pakcik Muin, berpesan pada rakan sekerja saya, “Minta tolong jaga si Apis ni di tempat kerja.”  Dan kawan saya pula jawab, “Kalau di rumah, tuan haji tolong jagakan pula ya.”  Syukur Alhamdulillah kerana Allah jaga saya dengan mendatangkan orang-orang yang baik , untuk ambil berat tentang saya.

Saya masih ingat, masa saya ke hospital, untuk buat dressing, saya susahkan pakcik Muin ni, bawa ke hospital.  Saya sampai hospital, terus pakcik tolak saya dengan wheelchair.  Sementara isterinya pergi park kereta.  Isterinya drive sebab mata pakcik ni tak Nampak.  Segala urusan saya semua dia uruskan, dari mula ambil nombor, jumpa doctor, lepas jumpa doctor pergi bilik ambil darah, lepas ambil darah, baru buat dressing.  Alhamdulillah urusan saya mudah, orang tak ramai masa tu, dalam sejam lebih, dah keluar dari hospital  lepas tu pulak pakcik ni bawak pergi makan.  Subhanallah.  Saya tahu mereka risaukan saya kerana terpaksa uruskan diri sendiri, berseorangan.  Tapi bagi saya, tak perlu risau, kerana Allah ada, sentiasa menjaga saya.  Terutama di saat begini.  Allah nak lihat saya bergantung dengan Allah, atau bergantung dengan makhluk Allah yang tak ada kuasa.


Saya harap, sesiapa yang membantu saya, belanja saya makan, mudahkan urusan saya, Allah balas kebaikan semuanya.  Allah murahkan rezekinya.  Syukur, kawan saya dari Nilai, datang jaga saya dua hari.  Seniur saya datang dari PJ ziarah saya.  Terima kasih banyak-banyak.  Segala kepayahan anda semua untuk jenguk saya, hanya Allah mampu balas keikhlasan kalian.  Saya harap satu hari nanti, kita jiran di syurgalah.  Itu saja harapan saya.

Tuesday, October 4, 2016

Jadikan Aku Bersyukur dan Tabah Ya Rohim

Allah Ya Tuhanku, tidak ada tempat untuk aku bersyukur dan berterima kasih melainkan Engkau yang layak untuk ku mengucapkan rasa syukur.  Kayanya Engkau memberikan kasih sayang dan nikmat yang sentiasa mengalir ke dalam darahku.

Saat aku kesakitan dan memerlukan bantuan banyak pihak, Kau datangkan insan-insan di sekelilingku untuk mengurangkan kesulitan yang aku alami.  Engkau campakkan kasih sayang yang ku dambakan selama ini Ya Rahman.  Terselit dalam hati ini berkata, adakah ini cerminan yang membuatkan ianya berpatah balik padaku.  Kalau ya, Kau simpankanlah sedikit untuk hari akhiratku.  Jangan kosong pula bekalanku esok-esok di hari akhirat sana.

Sungguh, diri ini saya sangat terharu dengan rezeki yang datang, bantuan yang datang tatkala diri ni masih belum pulih sepenuhnya.

Orang belanja sarapan pagi, tanpa ketahui siapa gerangan insan mulia itu.  Jiran-jiran datang bertanya khabar, sedangkan sebelum ini balik lepas maghrib tak kenal jiran tetangga.  Ubat di rumah langsung tak ada, dapat pulak dari jiran depan rumah untuk sembuhkan luka dalaman kalau ada.

Kawan baik datang, jaga untuk dua hari.  Allahu robbi, terharu aturan Mu Allah.  Terima kunjungan ziarah dari abang, jauh datang dari PJ, memandu malam-malam.  Panggilan video dari mak dan ayah, serta adik-beradik.  Ya Allah bahagianya hidup ini.  Tapi jangan jadikan aku lalai dan alpa dengan kebahagiaan sementara ini ya Allah.  Semuanya datang dariMu dan ku serahkan segalanya padaMu.


Andai ini tanda Kau cinta dan sayang padaKu Allah, sungguh aku malu terhadapMu.  Dhuha buat dua rakaat je, sedangkan orang lain buat empat rakaat.  Sedekah kurang, manfaat pada orang kurang, tolong orang pun kurang.  Tapi Allah beri perhatian lebih.  Malunya ya Allah.  Tahajud pun dah jarang, Quran seminggu berapa kali je baca.  Zikir kurang, banyak bercakap, banyak dosa pulak tu.

Wednesday, September 21, 2016

Dunia Melayan Kita Sepertimana Kita Mengajar Dunia Melayan Kita



Sebelum ni kawan saya, minta saya untuk terangkan apa maksud status facebook saya.  Saya pernah tulis “Dunia melayan kita seperti mana kita mengajar dunia cara untuk melayan kita”.  Saya dapat ayat ni dari seorang pencetus inspirasi terkenal.

Sekarang saya akan terangkan.  Semuanya berkaitan dengan imej diri kita sebenarnya.  Imej diri ni ialah kita punya persepsi atau tanggapan kita terhadap diri kita, tentang siapa diri kita.  Sebab tu kita kena sentiasa cakap yang baik-baik pada diri kita, anggap yang baik-baik terhadap diri kita.  Allah pun berfirman, “Aku seperti sangkaan hambaku”.

Cara dunia melayan kita, berdasarkan apa yang kita pamerkan atau tunjukkan pada dunia.  Perkataan “dunia” merujuk kepada semua yang berada dipersekitaran kita.  Perkataan “mengajar” pula merujuk kepada cara kita memperlihatkan diri kita pada persekitaran kita tak kisah la dari segi apa.  Lebih kepada bagaimana kita bertindak sebenarnya.  Malah, perkataan “melayan” pula merujuk pada respon atau feedback yang kita dapat.  Rumit lah pula nak terangkan.  Tapi saya berdoa, orang yang baca ni, semua diberikan kelapangan hati dan minda untuk memahami apa yang saya cuba sampaikan.  Dan apa yang saya tulis, biar orang faham sebab niat nak beri manfaat.

Untuk lebih kefahaman, saya bagi contoh.  Seekor kucing yang tak pernah berkunjung ke rumah kita, datang masuk ke rumah kita dan kita beri dia makan.  Maka, mesej yang kucing tu dapat ialah, dia boleh datang lagi ke rumah kita untuk makan.  Situasi ni, kita memperlihatkan (mengajar) kepada kucing tersebut, bahawa dia boleh datang ke rumah kita untuk makan.  Feedback bagi kucing tersebut, dia boleh makan di rumah kita.

Contoh situasi lain, kawan kita bergurau dengan kita.  Kalau kita ni hati tisu, bak kata orang, yang kuat sentap, kita memperlihatkan (mengajar) sekeliling kita ni bahawa kita tak selesa dengan situasi bergurau itu.  Maka, tindakan kawan kita tidak lagi bergurau dengan kita itu, itulah layanan yang dia respon atas tindakan yang kita buat.

Maka, kita hendaklah menjaga imej diri kita.  Bagaimana kita respon, bagaimana kita bertindak terhadap sesuatu situasi.  Dan sebenarnya, kita yang mencipta situasi tersebut.  Saya terpaksa ringkaskan, sebab nanti masuk pula cerita lain.  Sebab cara kita respon dan bertindak pun, ada satu tajuk lain.  Lagi best sebab dia ada formula dia tersendiri.  Ada masa lagi nanti, saya akan tulis pula bagaimana nak cipta suasana dan bagaimana nak respon untuk hasilkan kehidupan.  Sebab kita jangan jadi mangsa kehidupan.  Ada lah nanti caranya, saya akan tulis.