Entri lepas kita kupas tentang kebimbangan dalam kehidupan. Kita dapati, ramai daripada kita, mengalami kebimbangan dalam kehidupan mereka. Termasuk kehidupan kita juga ya. Jadi, hari ini, kita nak kupas pula tentang ketenangan dalam kehidupan yang saya dengar dari simpanan audio saya. Moga bermanfaat mudah-mudahan. Sebab orang yang membaca blog ni, adalah orang-orang yang dipilih oleh Allah, yang ingin memanfaatkan modal terbesar yang Allah beri iaitu umur kita. Insya-Allah jiran di syurga.
Kita ni nak tenang atau tidak sebenarnya bergantung pada diri kita. Kita yang menentukan ketenangan kita sebab bukan diri orang lain. Diri kita sendiri kan? Kita yang pilih sebenarnya. Semua manusia fitrahnya adalah baik. Dari kecil, kita seorang manusia yang baik. Cuba kita perhatikan adik-adik kita yang masih kecil. Mereka sentiasa riang bukan? Mereka tidak menipu, tidak berpura-pura dan mereka tidak ego. Jadi, kalau kita tak tenang, kita telah buat sesuatu yang bukan fitrah kita. Mesti kita ada buat sesuatu yang tak baik punca tak tenang, sebab fitrah kita baik. Ini bermakna, apabila kita tak tenang, mesti kita tak buat apa yang Allah suruh.
Apa kata kita semua ni balik pada zaman kanak-kanak kita. Kenapa kena balik pada zaman kanak-kanak pula? Sebab, kanak-kanak ni taat. Mereka taat pada orang sekeliling mereka. Kalau suruh buat benda baik, mereka ikut, kalau suruh buat benda tak baik pun mereka ikut. Kanak-kanak juga tidak menipu. Dia akan cakap benda yang betul kalau kita suruh berkata benar. Kanak-kanak juga tidak jahat. Mereka tak buat perkara yang jahat-jahat pada usia ini.
Kita tahu, fikiran kita menghasilkan emosi. Kalau fikiran tidak berserabut, tenang sentiasa, akan menghasilkan emosi yang baik, yang tenang. Emosi kita pula, akan menghasilkan tindakan kita, hasil luaran kita. Jadi, kalau kita fikir tentang ketenangan atau secara tenang, maka orang sekeliling kita (dunia luaran kita) turut tenang dan nampak tenang walaupun tak tenang. Kita yang tentukan sebenarnya. Berkait rapat dengan akhlak nabi. Cuba kita renung semula akhlak nabi semasa nak bangunkan Islam. Kita perhatikan, Islam terbina bukan kerana harta dan pangkat. Tetapi kerana akhlak. Saya pun masih belajar. Banyak yang saya tak tahu.
Lepas ni, mari kita guna formula ini. Saya suka guna formula ini sebab saya dah mengubah dunia saya sedikit demi sedikit. Kalau kita nak suruh orang baik dengan kita, kita kena baik terdahulu dengan orang. Kita semua ni manusia nak 3 perkara. Kita nak bahagia, tenang dan bebas buat apa yang kita suka. Macam mana nak dapat? Beri pada orang lain. Nak bahagia. Bahagiakan orang. Nak tenang, tenangkan orang. Nak bebas, beri kebebasan pada orang. Jangan sakitkan hati orang. Orang nak buat baik jangan halang. Biarkan dia bebas. Selalu kita ni terkena diri saya sama, kita selalu marah kalau orang lain nak buat baik. Sebab apa? Sebab bila dia buat baik, nampaklah kita jahat. Saya pun sama kadang-kadang tu ya. Risau kita ni nanti tak dapat husnul khatimah.
Tuntasnya, kena jaga hubungan dengan Allah barulah hati kita tenang. Kalau nampak orang buat jahat, kalau tak tegur orang tu sia-sia saja kita hidup. Terkena saya lagi. Saya seru diri saya sama. Hidup, kalau tak ada amar makruf nahi mungkar, sia-sia hidup. Hidup tak seru kebaikan, sia-sia. Ketenangan datang apabila hubungan dengan Allah baik. Lepas ni, jangan ada orang yang kita tinggikan suara, yang kita umpat, yang kita aniaya dan ambil hak walau satu sen pun. Terkena lah saya ni ya. Mari kita renung. Islam menuntut kita supaya adil, penghambaan kena kuat (ubudiah) dan datang pada keluarga dengan penuh kebaikan. Sama merenung diri.

No comments:
Post a Comment