Wednesday, February 18, 2015

Abang Sayang Adik-adik Abang

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.  Mohon keberkatan waktu daripada-Nya untuk mencurahkan sedikit pendapat dan kata hati remaja yang tak banyak ilmu dan banyak silap.  Moga apa yang saya merepek ni mungkin ada sedikit benda yang kita dapat darinya.

Kali ni terdetik nak cakap tentang hubungan kasih sayang kita sebagai seorang abang dan kakak kepada adik-adik kita.  Semua orang tahu keluarga adalah segalanya untuk kita.  Berapa ramai orang hanya sebut di mulut, di laman sosial, pada rakan-rakan (kata-kata) tetapi berapa ramai daripada kita membuktikan yang kita sayang pada adik-adik kita.  Saya kali ni nak cakap berdasarkan dari hati seorang abang sulung yang kasih pada semua enam orang adik beradik saya di bawah saya.

Adik-adik kita ni anugerah Allah kepada kita, darah daging kita, darah yang mengalir dalam diri adik-adik kita tu datangnya daripada ayah dan ibu kita yang sama.  Kalau tak ada adik, hidup kita sunyi.  Tak ada kawan berborak, tak ada kawan gaduh, tak ada kawan bermain, kawan nak bergelak.  Kita masa kecil-kecil dahulu, belajar bercakap dengan adik kita.  Sebab mak sibuk di dapur atau urusan kerja, ayah pula sibuk dengan kerja ayah.  Kita bercakap dengan siapa?  Bukankah kita belajar bercakap dengan adik?  Macam mana kita belajar menyuarakan pendapat, memberitahu apa kita suka apa kita tak suka walaupun kita bergaduh sebenarnya itu satu pembelajaran untuk kita dan adik kita.  Bukankah adik kita tu sebagai kawan belajar cara kita berkomunikasi sebelum kita masuk tadika?  Bayangkan kalau kita tak ada adik?  Boleh kita belajar berkomunikasi dengan orang lebih awal daripada orang yang tak ada adik?

Hari ini, saya sedih bila tengok orang berdendam dengan adik dia sendiri.  Marah-marah adik dia sendiri.  Saya nak kongsi dengan semua orang saya bukan baik sangat tapi saya juga pernah marah adik saya sampai mereka jadi fobia nak dekat dan berkawan dengan saya.  Lama-lama saya hentikan semua itu sebab saya nampak adik saya ketakutan tengok saya sampai nak bergurau pun mereka tak nak bergurau dengan saya sama.  Saya ubah daripada marah, kepada cakap perlahan-lahan dan menjadi kawan mereka.  Saya tanya urusan sekolah mereka, saya tanya siapa kawan mereka di sekolah, nama kawan karib, siapa nama guru mereka sedangkan tak nak tahu pun.  Cuma nak tarik dia bercakap dengan saya.  Sampai macam tu sekali.

Hari ini, ada orang sampai hampir berdendam dengan adik sebab adik kurang ajar.  Untuk apa berdendam dengan orang ni?  Kalau dia kurang ajar dengan ibu bapa kita atau sesiapa, adakah kita nak marah dia?  Sedangkan niat kita nak nasihat dia.  Nasihat takkan sampai kalau dengan cara yang salah.  Sama juga diri kita.  Letakkan diri kita dalam diri mereka.  Kalau orang nak bagi nasihat kat kita, kita suka orang yang cakap elok-elok dengan kita ke atau yang marah-marah dan ada sifat negatif pada kita?  Bila kita ada rasa negatif pada orang, tanpa perlu tunjukkan mimik muka atau bercakap kita benci dia, aura (vibration) negatif yang ada dalam diri kita itu akan sampai (connect) dulu pada orang tu (receiver).  Sebab tu kita kadang-kadang boleh rasa sama ada seseorang itu suka bercakap dengan kita atau tidak.  Saya nak share pengalaman saya, saya dulu ada adik yang macam ni.  Mereka bukan jahat, jangan sampai mereka merasakan orang melabelkan dia jahat.  Mereka belum matang.  Sama macam kita juga dulu masa belum matang, kita ni bukan baik mana pun.  Apa saya buat?  Saya tak boleh ubah orang kalau saya tak ubah diri saya dulu.  Mungkin pada mulanya adik saya belajar dari saya yang mengakibatkan dia kurang ajar sebab kita sebagai abang dan kakak, secara automatik akan jadi model pada adik kita.  Jadi saya ubah diri saya, bercakap dengan mak ayah secara sopan, sekali panggil nama, saya dah sahut seruan mak ayah, apa ayah dan mak larang, saya terus tak buat walaupun hati memberontak sebab mak dan ayah tahu apa yang terbaik untuk anak dia.  Kalau kata jangan pergi, saya takkan pergi.  Kalau parent saya kata berhenti, berhenti.  Kalau parent kata teruskan, teruskan.  Mudah kerja saya.  Itu yang pertama saya buat.  Ubah diri saya sendiri.  Kedua saya tak pernah berhenti berdoa untuk adik-adik saya.  Kalau perlu menangis, merayu pada Allah, nangislah.  Kalau kita menangis teresak-esak adakah Allah tak nak makbulkan doa kita?  Sungguhpun kita bercakap dengan adik kita tu, dia balas dengan kasar, kita tetap balas dengan sopan dan menghormati adik.  Berapa ramai kita ni menghormati adik kita?  Lama-lama adik kita ni in Shaa Allah akan nampak perubahan cara kita melayan dia.  Kalau mak ayah dah marah-marah dia, adakah kita pun nak marah dia sama?  Siapa nak dengar suara dia?  Alhamdulillah memang berkesan dan saya bersyukur sangat sebab adik-adik saya sekarang membesar dalam keadaan agak sempurna kerana menceburi bidang agama.  Hidayah itu milik Allah.  Mohon pada Allah.  Kalau kita cakap pada orang, orang pula ramai baca apa kita tulis yang kita marah adik kita, kalau 10,000 orang baca, 10,000 orang doakan adik kita jadi makin teruk.  Nak macam tu?

Bersyukurlah ada adik.  Berapa ramai orang tak ada adik, sibuk ambil adik angkat.  Dah ada adik angkat, tiba-tiba jadi makin teruk lepas kenal adik angkat.  Kadang-kadang terpengaruh.  Biasalah remaja sekarang.  Orang bukan ahli keluarga sibuk nak ambil adik angkat nak sayang lebih-lebih, kakak angkat, abang angkat.  Kadang mana yang jumpa orang yang baik tu, alhamdulillah tapi kalau yang mana jumpa yang kurang baik tu?  Nauzubillah min zalik.  Saya cakap ni terkena lah diri saya sama yang berangkat-angkat ni.  So niat mesti betul apa tujuan kita buat sesuatu.  Sebab setiap perkara yang kita buat akan dipersoalkan oleh Allah kelak.  Jom ubah cara kita melihat adik kita yang nakal tu, lebih kan tunjuk kita sayang dia.  Dia tak nak sebenarnya jadi kurang ajar macam tu tapi sebab dia belum ada ilmu macam mana nak mulakan, macam mana nak jadi baik, kitalah kena tunjukkan bukan dengan kata-kata.  Lebih baik dengan perbuatan dan watak kita sebab itu lebih berkesan.  Jangan berhenti berdoa, mohon hidayah untuk orang-orang yang kita sayang, terutama adik beradik kita ni.  Anggaplah adik yang nak nakal ni ujian keimanan untuk kita.  Sebenarnya banyak lagi saya boleh cakap, tapi ini pun dah panjang sangat.  Saya nak minta sangat-sangat, merayu sangat-sangat, tolonglah lihat hikmah disebalik kesempurnaan disebalik ketidaksempurnaan itu.  See the perfection in the imperfection.  Ada sebab Allah jadikan jalan hidup kita macam ni.  Inilah warna warni hidup kita.  Maaf sangat-sangat kalau saya menyentuh hati sesiapa.  Niat saya satu je supaya orang dapat berkasih sayang dengan keluarga dulu bukan dengan orang lain.

Ingat balik masa adik kita kecik-kecik dulu bukan main sayangnya kita pada dia.  Kita timang dia, bila ada makcik pakcik usik nak bawak adik kita balik bukan main kita marah menangis tak nak adik kita kena ambil orang.  Bayangkan adik kita satu hari nanti akan jadi ulamak, akan jadi seorang yang berguna dan baik malah lebih baik dari kita.  Masa depan kita, kita tak tahu.  Sebab tu kita digalakkan untuk sentiasa memohon dalam doa lepas solat supaya hidayah yang Allah dah beri ni jangan diambil balik.   Jangan rasa diri kita baik sangat dari orang lain hatta pada adik kita sendiri.  Takut Allah uji kita pula nanti.


Sabarlah dan carilah solusi untuk setiap ujian Allah.  Perkataan “masalah” tukarkan kepada perkataan “ujian dari Allah”.  Orang yang layak sahaja diuji Allah, orang yang dipilih Allah untuk diuji keimanannya.  Sedangkan orang yang tak diuji itu dibiarkan Allah dengan kelalaian dunia.  Kalau kita nak jadi ahli syurga, kita pasti akan menjadi sebaik-baik hamba.  Dan jika kita berjaya mengharungi ujian ini, dengan cemerlang, in Shaa Allah ganjaran syurga buat kita.  Ingat, syurga itu sangat sedikit orang yang memasukinya.  Jom masuk dalam golongan orang yang sedikit itu.  Saya suka menerima teguran, kalau terasa saya bajet bagus, tunjuk pandai, minta maaf banyak-banyak.  Apa-apa komen, boleh terus suarakan pada saya, hafizhamdi94@gmail.com.

1 comment: